Sunday 23 March 2014

Novel : Bagaikan Puteri (Laksamana Sunan , #1)


Bagaikan Puteri by Ramlee Awang Murshid
My rating: 4 of 5 stars

Membaca kisah berkaitan ragut, buat Cik Pah trauma. Ya Cik Pah juga mangsa ragut. Apabila melihat parut-parut luka yang hodoh rasa sakit hati dengan peragut yang bertopengkan manusia. Tapi tak sampai la koma macam Haryani watak utama dalam Bagaikan Puteri. Alhamdulillah.

Kisahnya, Haryani dan sahabatnya Rita telah menonton teater Puteri Gunung Ledang. Perbualan mereka masih lagi berkisar mengenai PGL dan Hang Tuah sehinggalah satu tragedi ragut telah membuat Haryani koma dan rohnya telah terlontar ke zaman Pertengahan Kurun ke 15. Disitulah Haryani bertemu Laksamana Sunan(Saifuddin) dan Djaulah yang sedang berlayar dari Aceh ke Melaka untuk pulang ke kampung halaman Laksamana Sunan di Punggor. Kerana terbawa-bawa watak Puteri Gunung Ledang yang ditontonnya, hanya nama Gusti Putri Retno Dumilah, Puteri Majapahit sahaja yang terlintas dimindanya. Lalu nama itu diperkenalkan kepada lelaki yang telah menyelamatkannya daripada hanyut di lautan. Dari situlah Haryani mengikuti pelayaran bersama-sama Laksamana Sunan dan menempuh kuasa jahat manusia bertuhankan syaitan. Akhirnya terbit bibit-bibit cinta dihati mereka walaupun tidak pernah terlafaz dibibir.

Di abad 21, Dani buat pertama kalinya melihat Haryani yang terlantar dikatil, telah jatuh hati. Pertemuan bermula apabila Dani, yang mempunyai susur galur Laksamana Sunan dari moyangnya Megat, abang kepada Laksamana Sunan berhajat ingin mendapatkan kembali mushaf tulisan Laksamana Sunan yang berada dirumah Haryani. Yang menjadi misteri, mushaf yang ditulis pada kurun ke 15 itu tertulis nama Haryani dan kata-kata puitis itu seolah-olah ditujukan khas buat Haryani. Sedangkan di abad ke 15, kejadian itu benar-benar terjadi. Laksamana Sunan telah menulis bait-bait puitis itu untuk Haryani yang cantik bagaikan puteri.

Sejak melihat Haryani, Dani berulang-alik melawat Haryani dan menyatakan kesudian melamar Haryani sekiranya Haryani pulih. Suaranya kadang-kadang dapat didengari Haryani di dunia satu lagi, tetapi kerana rasa cinta buat Laksamana Sunan, Haryani tidak ingin pulang ke dunia asal. Walau bagaimanapun, Laksamana Sunan perlu menjalankan amanah daripada gurunya Wali Sufi. Haryani perlu dibunuh untuk memulangkan rohnya kembali ke jasad dan kepangkuan keluarga. Berdebar untuk mengetahui atas alasan apa Laksamana Sunan membunuh Haryani sedangkan dia buat masa itu, turut menyimpan perasaan buat Haryani.

Situasi di Malaysia, hari demi hari berlalu sehinggalah tiada ikhtiar perubatan yang mampu memulihkan kembali Haryani yang koma. Cukup seminggu Doktor terpaksa mengistiharkan kematian Haryani yang selama ini bernafas melalui alat bantuan pernafasan. Saat dikapankan dan ketika jenazah Haryani diliang lahat satu kejadian telah menggemparkan satu Malaysia kerana Haryani yang disahkan mati telah hidup kembali. Dek kerana rasa cinta yang masih kuat buat Laksamana Sunan, Haryani rasa kecewa terputus hubungan dengan dunia Laksamana Sunan apatah lagi dia sedar Laksamana Sunan telah mengembalikannya ke dunia sebenar setelah membunuh dia dengan tangan Laksamana Sunan sendiri.

Patut lah pembaca berkenan sungguh dengan Laksamana Sunan. Budi pekerti dan ilmu agamanya tinggi. Hikmah dia merantau kerana kecewa difitnah dan ketidakadilan bapanya selaku Ketua Kampung menghukum atas kesalahan yang tidak dilakukan. Akhirnya, ditakdirkan Saifuddin diangkat menjadi hero idaman Malaya melawan kejahatan manusia yang bertuhankan syaitan. Membaca kisah ini seakan-akan terasa laksamana ini betul-betul wujud.

Next!

No comments :

Post a Comment