Showing posts with label Ramlee Awang Murshid. Show all posts
Showing posts with label Ramlee Awang Murshid. Show all posts

Tuesday, 29 April 2014

Novel : Sutera Bidadari (Laksamana Sunan , #5)

Sutera Bidadari (Bagaikan Puteri, #5)Sutera Bidadari by Ramlee Awang Murshid
My rating: 5 of 5 stars



Membaca novel ke 5 siri Sunan ini perlukan fokus yang lebih kerana banyak watak baru wujud. Ada kalanya buku ini menghempap muka Cik Pah bila dibaca sambil berbaring. Bunyinya macam bosan ek, oh tidak... bukan sebab bosan, minggu itu Cik Pah tercabar untuk beradu di alam tidak berdinding selepas penat seharian dipejabat. Bila baca dalam keadaan penat, otak tepu, nama Saifudin dan Saifullah juga boleh membuat Cik Pah konfius. 2 nama ini hebat-hebat belaka.

Imbas kembali kisah sebelumnya, Sunan telah ditembak semasa bertempur dengan Portugis bersama sekutunya taghut sehingga nyawa Sunan hampir terancam. Dek mendapat luka yang parah, Hang Tuah telah membawa Saifudin ke dalam tasik Chini yang dikawal naga pemberian Maharaja China.

Kisah selanjutnya, jom ikuti kisah Saifudin yang telah mengalahkan taghut, kembali menjejaki semula taghut yang melarikan diri ke negeri diatas angin. Setelah 6 purnama hilang di dalam tasik yang dikawal naga, Saifudin yang dirawat Hang Tuah pulih kembali bagi meneruskan pelayaran yang menguja dan mencabar. Dalam tempoh 6 purnama itu juga, Sunan diundang ke alam tidak berdinding, sentiasa dirayu Sang Dewi. Namun Sunan tidak endahkan rayuan Sang Dewi kerana dia beranggapan Sang Dewi adalah siluman. Misteri Sang Dewi akan terungkai diakhir cerita Sutera Bidadari ini. Pastinya sesuatu yang menarik untuk mengajak pembaca merungkai misteri alam tidak berdinding.

Dalam novel ini tidak ketinggalan tentang 2 watak wanita yang masih mencuba nasib untuk merebut perhatian dan hati Sunan iaitu Maryam balu berbangsa Portugis dan Luna dari bangsa Polip. Masing-masing hanya mampu memendam rasa kerana Sunan tidak memberikan sebarang jawapan menyambut hati mereka. Bagi Sunan cinta buat Ratna masih utuh. Hanya Haryani di abad 21 sahaja wanita yang hampir menjadi suri buat Sunan selepas kematian Ratna, namun disebabkan relung masa dan peluru yang menembus tubuh Sunan membuatkan Sunan dapat kembali ke abad 15.

Raja Roman aka taghut di negeri atas angin telah menghidu kedatangan Sunan. Dia yang telah kematian permaisuri telah berdendam dan tidak teragak-agak untuk mengakhiri nyawa Sunan dengan kudrat yang ada setelah kuasa saktinya ditarik kembali Sang Petala. Kuasa Tuhan tak siapa dapat jangka, Raja Roman yang paling jahat dan kejam akhirnya menerima Islam setelah bersemuka dengan Sunan. Rasa sebak semasa pengislaman dan saat kematian Raja Roman dengan nama barunya Abdullah Sadik. Buat pertama kalinya siri Sunan ini berjaya membuat Cik Pah mengalir air mata dan muhasabah diri. Jangan mudah menghukum orang ini masuk syurga, orang itu masuk neraka kerana pengakhiran kehidupan seseorang itu Allah yang tentukan. Sesuatu kejadian itu ada sebab dan akibatnya untuk diambil iktibar. Sang Petala aka iblis memang telah berjanji untuk menyesatkan manusia. Apabila orang suruhannya kalah, dia akan cuci tangan dan yang menerima akibatnya adalah manusia itu sendiri. Jika dilihat kepada siri sebelumnya sehingga siri ke 5 yang turut memuatkan kisah drakula, semua kerosakan dan kejahatan yang manusia lakukan adalah kerana ingin menguasai dunia, pangkat, harta dan dendam kesumat.

Makanya untuk menghindari jiwa dikuasai dunia, sentiasalah basahkan lidah dengan berzikir dan bertahajud sepertiga malam. Satu amalan yang Sunan buat adalah sentiasa mengalunkan Asmaulhusna. Jiwa manusia akan selamat dengan sentiasa ingat Allah. Sunan bukan sekadar kisah fantasi tapi mendidik jiwa.

View all my reviews

Wednesday, 9 April 2014

Novel : Cinta Sufi (Laksamana Sunan , #4)

Cinta Sufi (Bagaikan Puteri, #4)Cinta Sufi by Ramlee Awang Murshid
My rating: 5 of 5 stars

Cinta sufi...sungguh luar biasa

Sunan sakit, kesiannya... Balik dari kurun 21 dia seolah-olah hilang kudrat dan tenaga kepahlawanan. Hanya iman sahaja makin bertambah atas ujian sebagai hambaNya


Sewaktu Sunan tiada kudrat itulah, Melaka ditawan penjajah Portugis. Pemergian Alfonso De Albuquerque itu turut diekori nakhoda Kapten Leandro dan Aloisio yang turut membawa balu bangsawan Catalina. Ada sesuatu yang dicari Catalina yang menyimpang dari tujuan asal bangsa penjajah itu. Catalina yang kematian suaminya, Aryas Do Lopo telah beberapa kali bermimpi bertemu wanita bernama Maryam di taman yang indah. Disebabkan mimpi itu, Catalina ingin ke Tanah Melayu mencari lelaki bertanduk dua yang bakal nenemukan dia dengan Maryam. Dengan tipu helah taraf bangsawan yang dimiliki, Catalina berjaya menyertai ekspedisi pelayaran ke Tanah Melayu ditemani penjaganya Renata. Ada sesuatu yang menarik tentang Maryam yang perlu dirungkaikan oleh Catalina dan membuat pembaca tidak mahu melepaskan Cinta Suci.

Akhirnya bertemu juga Catalina dengan Sunan yang dikatakan bertanjuk dua itu yang merujuk kepada 2 urat kepala yang timbul di dahi. Sunan yang pengsan di persisiran pantai di jadikan hamba sahaya dan dikurung. Perhatian berlebihan Catalina terhadap Sunan telah menimbulkan rasa tidak puas hati di hati Leandro. Dek kerana memandang hina terhadap orang Melayu dan cemburu, komplot untuk membunuh Sunan dirancang semasa mereka berarak ke Hulu Melaka.

Dalam pada penduduk Melaka takutkan peluru dan meriam Portugis, Melaka turut diserang hantu penghisap darah. Rupa-rupanya taghut yang menjelma sebagai Pangeran Garitno telah memberi talian hayat kepada Puteri Kober Gandring yang sakit ditikam Sunan. Sebagai galang ganti, PKG menjadi pontianak dan hamba suruhan taghut. Mereka yang berdendam dengan Sunan telah membunuh dan menghisap darah penduduk kampung, dengan harapan Sunan mampir. Malangnya bayangan Sunan langsung tidak kelihatan sehinggalah bertembung dengan rombongan Catalina. Pertempuran berlaku antara manusia dengan pontianak. Sunan yang hilang kudrat tidak mampu mempertahankan diri. Semasa waktu meruncing itulah, Sunan diselamatkan bangsa bersayap, Polip. Sunan diterbangkan ke tempat persembunyian mereka. Dirawat dan dijaga sehingga Sunan pulih kembali. Sunan yang dikagumi bangsa Polip itu, dalam diam dicintai menantu Thariq, ketua Polip iaitu Luna yang telah ribuan tahun kematian suami. Tanpa Sunan ketahui, Luna telah lama mengikuti perkembangan Sunan semenjak dia remaja lagi sewaktu membawa diri dari Punggor ke Tanah Rencong. Namun malangnya kasih Luna dihalang bapa mertuanya yang melarang bangsa mereka mengahwini manusia. Manusia adalah bangsa yang suka berperang. Anaknya Munik juga mati akibat berperang dengan manusia, Pangeran Garitno yang dahulunya adalah Raja Roman yang suka berperang dan menjajah negara yang ditemuinya.

Kisah cinta sufi ini lagi mencabar kerana memuatkan perang Pahlawan Melaka dengan Portugis dan makhluk penghisap darah. Hang Tuah , Hang Lekiu, Panglima Awang Bagan diangkat menjadi hero melawan musuh Kesultanan Melaka dan Sunan penghapus manusia pengikut syaitan. Kemunculan dua wanita yang terpikat dengan Sunan adalah penyeri kisah kepada lelaki sedih dari Tanah Rencong yang cintanya kepada Allah melebihi cintanya kepada dunia.

View all my reviews

Novel : Hijab Sang Pencinta (Laksamana Sunan , #3)

Hijab Sang Pencinta (Bagaikan Puteri, #3)Hijab Sang Pencinta by Ramlee Awang Murshid
My rating: 5 of 5 stars

Kali ini RAM membawa kita mengembara bersama Sunan yang ingin pulang ke kampung halaman untuk berbakti kepada orang tua. Dalam perjalanannya, Sunan bakal berdepan dengan Manggala, manusia serigala, khunsa dari Banjaran Tibet yang bersekutu dengan taghut. Siangnya lelaki dan malamnya menjadi wanita dan pabila bulan penuh dia akan bertukar menjadi serigala. Manakala di abad 21 Manggala yang mati dibunuh Sunan pada abad 15 akan dibangkitkan semula. Mempunyai pengikut yang ditawarkan kemewahan. Bakal memburu Haryani, Dani dan Saliha untuk menghidupkan semula Manggala yang telah menjadi jenglot, kononnya memerlukan 100 darah perawan untuk menghidupkannya. Kejahatan datang dari pelbagai sudut. Guntur dan Sari dua adik-beradik juga muncul mengekori Sunan untuk menuntut bela atas kematian Nyi Burga Kelara. Guntur yang dikatakan pewaris tunggal Manggala juga berjaya dibunuh Sunan menyebabkan Manggala mendendami Sunan.

Dalam masa yang sama, keluarga Tun Muttalib menerima musibah. Isterinya Melor dan anak mereka Putera Muzaffar berdepan dengan sihir Puteri Kober Gandring yang ingin menuntut bela atas kematian abangnya di tangan Hang Tuah yang turut merampas keris Taming Sari. Disebabkan Hang Tuah hilang tanpa jejak, maka nyawa Sultan Melaka dijadikan galang ganti. Melor yang takut rahsia masa lalu berkasih dengan Sunan dan fitnah yang diadakan ayahnya tok penghulu terbongkar, termakan pujuk dengan Putri itu lalu menyebabkan ibu Sunan, kerasukan dan nyawanya menjadi taruhan apabila kehendak Putri tidak ditunaikan. Sunan yang tidak mengetahui tentang ibunya yang meninggal dunia telah mengalami mimpi aneh bertemu ibu bersama Ratna. Tetapi dia masih belum mendapat ilham tentang situasi yang berlaku kepada ibu tercinta. Sekembalinya ke Punggor dengan bantuan orang istana, barulah Sunan mengetahui pemergian ibu. Dia redha walaupun lewat untuk menyelamatkan ibu dari dendam Putri. Nyawa wanita yang mendendami pahlawan terbilang Hang Tuah dan Sultan Melaka akhirnya ditamatkan. Namun nyawa Sunan pula terancam pabila Sultan Melaka mengetahui kepulangan Sunan yang disangkakan mati semasa bertarung dengan Hang Tuah. Marah hajatnya untuk memperisterikan Haryani dihalang Sunan.

Walaupun Sunan mampu untuk menewaskan pahlawan istana, pak Jalis bapa Sunan tetap menyuruh Sunan bersembunyi di gua dan disitu berlaku keajaipan. Sunan dibawa ke kurun 21, bertemu keluarga Dani di Punggor. Agak kelakar Sunan cuba mengadaptasi kehidupan kurun ke 21. Cara pakaian, pertuturan, makanan cuba diikut Sunan secepat mungkin. (Ada tips pasal makan nasi, hoho agaknya lepas ni boleh bertahan tak kalo tak nak makan nasi & daging, ratah ikan ngan ulam ja ;)

Dani dan Haryani masih berada di Aceh menguruskan segala dokumen di kedutaan untuk pulang ke Malaysia. Namun Haryani sekali lagi diculik pengikut Manggala. Sunan pula terpaksa ke Aceh dan dia berdepan semula dengan musuh lama yang cuba bangkit semula.

Kisah percintaan terlalu pantas dan terlalu banyak halangan. Adakah Haryani halal untuk Sunan di abad 21? Awan... Kalau dapat ku capai maka saktilah hamba. Kamu bagaikan puteri, Haryani.

Kalau salah sinopsis, maafin gue, tak berapa ingat kronologi , watak dan lokasi ;)

Thursday, 27 March 2014

Novel : Cinta Sang Ratu (Laksamana Sunan , #2)

Cinta Sang Ratu by Ramlee Awang Murshid
My rating: 4 of 5 stars

Siri Laksamana Sunan yang ke dua

Cinta Sang Ratu
Laksana langit mencengkam purnama
Ibarat mutiara di lautan biru
Saujana mata memandang
Seluas langit terbentang
Tatkala cinta berbisik
Suaranya memuji TUHAN
Apabila rindu terusik
Rasulnya menjadi pilihan
Sampai masanya cinta jadi taruhan
Sang Ratu menjadi impian


Akhirnya, Laksamana Sunan menerima jodoh dengan Ratu Sulaman (Ratna) wanita yang hampir membunuhnya dengan panahan sihir. Sebaris ayat, "sebagai manusia aku sayang padamu" telah membuka hati Ratu Sulaman untuk menjengok semula musuh ciptaan bonda. Anak didik Maharani dari Pulau Utara, pengikut thagut itu terpikat dengan pekerti Laksamana Sunan, sehingga terlupa amarah Maharani yang tidak membenarkan dia untuk jatuh cinta dengan mana-mana lelaki. Bagi Sunan, perkahwinan diatur adalah untuk menjaga akhidah Ratu Sulaman yang telah diislamkan dan mengelak fitnah. Hidup mereka dilimpahi penuh kasih sayang sehinggalah saat cinta mereka diuji apabila Ratna diculik bonda dan disihirkan semula. Dari situlah, bermulanya pelayaran Sunan bersama sahabatnya Sidik ke Pulau Utara. Pelbagai rintangan yang mereka terpaksa tempuhi sepanjang pelayaran dan ada kalanya hampir meragut nyawa Sunan apabila terpaksa bertarung dengan makhluk aneh di lautan. Namun, atas keimanan yang tinggi kepada Allah, semuanya dapat ditempuhi dengan sabar dan tawaduk. Kisah si ibu yang sebatang kara amat menyentuh hati. Ada mesej disitu untuk kita renungi dan menyedarkan kita untuk terus berbakti kepada orang tua yang masih hidup dan yang telah kembali kepada Pemilik.

Di kurun 21 pula, Dani yang berpergian ke Aceh untuk mencari keris Nanggore telah menjadi mangsa Tsunami yang telah mengorbankan lebih 200000 orang. Dia yang telah diselamatkan Pak Mustakim dan anak sunti Saliha telah mengalami gangguan jiwa dan rohnya terdampar ke kurun 15, dunia Sunan. Haryani yang terasa bersalah telah menjejaki Dani tanpa restu ibu dan bapa juga mengalami ancaman diburu serigala jadian.

Kisah yang menarik penuh teladan dan watak hero yang tinggi pekerti lagi menyeru penyerahan jiwa kepada Allah, telah mencipta fenomena Sunan di hati pembaca ;)

Sunday, 23 March 2014

Novel : Bagaikan Puteri (Laksamana Sunan , #1)


Bagaikan Puteri by Ramlee Awang Murshid
My rating: 4 of 5 stars

Membaca kisah berkaitan ragut, buat Cik Pah trauma. Ya Cik Pah juga mangsa ragut. Apabila melihat parut-parut luka yang hodoh rasa sakit hati dengan peragut yang bertopengkan manusia. Tapi tak sampai la koma macam Haryani watak utama dalam Bagaikan Puteri. Alhamdulillah.

Kisahnya, Haryani dan sahabatnya Rita telah menonton teater Puteri Gunung Ledang. Perbualan mereka masih lagi berkisar mengenai PGL dan Hang Tuah sehinggalah satu tragedi ragut telah membuat Haryani koma dan rohnya telah terlontar ke zaman Pertengahan Kurun ke 15. Disitulah Haryani bertemu Laksamana Sunan(Saifuddin) dan Djaulah yang sedang berlayar dari Aceh ke Melaka untuk pulang ke kampung halaman Laksamana Sunan di Punggor. Kerana terbawa-bawa watak Puteri Gunung Ledang yang ditontonnya, hanya nama Gusti Putri Retno Dumilah, Puteri Majapahit sahaja yang terlintas dimindanya. Lalu nama itu diperkenalkan kepada lelaki yang telah menyelamatkannya daripada hanyut di lautan. Dari situlah Haryani mengikuti pelayaran bersama-sama Laksamana Sunan dan menempuh kuasa jahat manusia bertuhankan syaitan. Akhirnya terbit bibit-bibit cinta dihati mereka walaupun tidak pernah terlafaz dibibir.

Di abad 21, Dani buat pertama kalinya melihat Haryani yang terlantar dikatil, telah jatuh hati. Pertemuan bermula apabila Dani, yang mempunyai susur galur Laksamana Sunan dari moyangnya Megat, abang kepada Laksamana Sunan berhajat ingin mendapatkan kembali mushaf tulisan Laksamana Sunan yang berada dirumah Haryani. Yang menjadi misteri, mushaf yang ditulis pada kurun ke 15 itu tertulis nama Haryani dan kata-kata puitis itu seolah-olah ditujukan khas buat Haryani. Sedangkan di abad ke 15, kejadian itu benar-benar terjadi. Laksamana Sunan telah menulis bait-bait puitis itu untuk Haryani yang cantik bagaikan puteri.

Sejak melihat Haryani, Dani berulang-alik melawat Haryani dan menyatakan kesudian melamar Haryani sekiranya Haryani pulih. Suaranya kadang-kadang dapat didengari Haryani di dunia satu lagi, tetapi kerana rasa cinta buat Laksamana Sunan, Haryani tidak ingin pulang ke dunia asal. Walau bagaimanapun, Laksamana Sunan perlu menjalankan amanah daripada gurunya Wali Sufi. Haryani perlu dibunuh untuk memulangkan rohnya kembali ke jasad dan kepangkuan keluarga. Berdebar untuk mengetahui atas alasan apa Laksamana Sunan membunuh Haryani sedangkan dia buat masa itu, turut menyimpan perasaan buat Haryani.

Situasi di Malaysia, hari demi hari berlalu sehinggalah tiada ikhtiar perubatan yang mampu memulihkan kembali Haryani yang koma. Cukup seminggu Doktor terpaksa mengistiharkan kematian Haryani yang selama ini bernafas melalui alat bantuan pernafasan. Saat dikapankan dan ketika jenazah Haryani diliang lahat satu kejadian telah menggemparkan satu Malaysia kerana Haryani yang disahkan mati telah hidup kembali. Dek kerana rasa cinta yang masih kuat buat Laksamana Sunan, Haryani rasa kecewa terputus hubungan dengan dunia Laksamana Sunan apatah lagi dia sedar Laksamana Sunan telah mengembalikannya ke dunia sebenar setelah membunuh dia dengan tangan Laksamana Sunan sendiri.

Patut lah pembaca berkenan sungguh dengan Laksamana Sunan. Budi pekerti dan ilmu agamanya tinggi. Hikmah dia merantau kerana kecewa difitnah dan ketidakadilan bapanya selaku Ketua Kampung menghukum atas kesalahan yang tidak dilakukan. Akhirnya, ditakdirkan Saifuddin diangkat menjadi hero idaman Malaya melawan kejahatan manusia yang bertuhankan syaitan. Membaca kisah ini seakan-akan terasa laksamana ini betul-betul wujud.

Next!