Wednesday 9 April 2014

Novel : Cinta Sufi (Laksamana Sunan , #4)

Cinta Sufi (Bagaikan Puteri, #4)Cinta Sufi by Ramlee Awang Murshid
My rating: 5 of 5 stars

Cinta sufi...sungguh luar biasa

Sunan sakit, kesiannya... Balik dari kurun 21 dia seolah-olah hilang kudrat dan tenaga kepahlawanan. Hanya iman sahaja makin bertambah atas ujian sebagai hambaNya


Sewaktu Sunan tiada kudrat itulah, Melaka ditawan penjajah Portugis. Pemergian Alfonso De Albuquerque itu turut diekori nakhoda Kapten Leandro dan Aloisio yang turut membawa balu bangsawan Catalina. Ada sesuatu yang dicari Catalina yang menyimpang dari tujuan asal bangsa penjajah itu. Catalina yang kematian suaminya, Aryas Do Lopo telah beberapa kali bermimpi bertemu wanita bernama Maryam di taman yang indah. Disebabkan mimpi itu, Catalina ingin ke Tanah Melayu mencari lelaki bertanduk dua yang bakal nenemukan dia dengan Maryam. Dengan tipu helah taraf bangsawan yang dimiliki, Catalina berjaya menyertai ekspedisi pelayaran ke Tanah Melayu ditemani penjaganya Renata. Ada sesuatu yang menarik tentang Maryam yang perlu dirungkaikan oleh Catalina dan membuat pembaca tidak mahu melepaskan Cinta Suci.

Akhirnya bertemu juga Catalina dengan Sunan yang dikatakan bertanjuk dua itu yang merujuk kepada 2 urat kepala yang timbul di dahi. Sunan yang pengsan di persisiran pantai di jadikan hamba sahaya dan dikurung. Perhatian berlebihan Catalina terhadap Sunan telah menimbulkan rasa tidak puas hati di hati Leandro. Dek kerana memandang hina terhadap orang Melayu dan cemburu, komplot untuk membunuh Sunan dirancang semasa mereka berarak ke Hulu Melaka.

Dalam pada penduduk Melaka takutkan peluru dan meriam Portugis, Melaka turut diserang hantu penghisap darah. Rupa-rupanya taghut yang menjelma sebagai Pangeran Garitno telah memberi talian hayat kepada Puteri Kober Gandring yang sakit ditikam Sunan. Sebagai galang ganti, PKG menjadi pontianak dan hamba suruhan taghut. Mereka yang berdendam dengan Sunan telah membunuh dan menghisap darah penduduk kampung, dengan harapan Sunan mampir. Malangnya bayangan Sunan langsung tidak kelihatan sehinggalah bertembung dengan rombongan Catalina. Pertempuran berlaku antara manusia dengan pontianak. Sunan yang hilang kudrat tidak mampu mempertahankan diri. Semasa waktu meruncing itulah, Sunan diselamatkan bangsa bersayap, Polip. Sunan diterbangkan ke tempat persembunyian mereka. Dirawat dan dijaga sehingga Sunan pulih kembali. Sunan yang dikagumi bangsa Polip itu, dalam diam dicintai menantu Thariq, ketua Polip iaitu Luna yang telah ribuan tahun kematian suami. Tanpa Sunan ketahui, Luna telah lama mengikuti perkembangan Sunan semenjak dia remaja lagi sewaktu membawa diri dari Punggor ke Tanah Rencong. Namun malangnya kasih Luna dihalang bapa mertuanya yang melarang bangsa mereka mengahwini manusia. Manusia adalah bangsa yang suka berperang. Anaknya Munik juga mati akibat berperang dengan manusia, Pangeran Garitno yang dahulunya adalah Raja Roman yang suka berperang dan menjajah negara yang ditemuinya.

Kisah cinta sufi ini lagi mencabar kerana memuatkan perang Pahlawan Melaka dengan Portugis dan makhluk penghisap darah. Hang Tuah , Hang Lekiu, Panglima Awang Bagan diangkat menjadi hero melawan musuh Kesultanan Melaka dan Sunan penghapus manusia pengikut syaitan. Kemunculan dua wanita yang terpikat dengan Sunan adalah penyeri kisah kepada lelaki sedih dari Tanah Rencong yang cintanya kepada Allah melebihi cintanya kepada dunia.

View all my reviews

No comments :

Post a Comment