Tuesday 29 April 2014

Novel : Sutera Bidadari (Laksamana Sunan , #5)

Sutera Bidadari (Bagaikan Puteri, #5)Sutera Bidadari by Ramlee Awang Murshid
My rating: 5 of 5 stars



Membaca novel ke 5 siri Sunan ini perlukan fokus yang lebih kerana banyak watak baru wujud. Ada kalanya buku ini menghempap muka Cik Pah bila dibaca sambil berbaring. Bunyinya macam bosan ek, oh tidak... bukan sebab bosan, minggu itu Cik Pah tercabar untuk beradu di alam tidak berdinding selepas penat seharian dipejabat. Bila baca dalam keadaan penat, otak tepu, nama Saifudin dan Saifullah juga boleh membuat Cik Pah konfius. 2 nama ini hebat-hebat belaka.

Imbas kembali kisah sebelumnya, Sunan telah ditembak semasa bertempur dengan Portugis bersama sekutunya taghut sehingga nyawa Sunan hampir terancam. Dek mendapat luka yang parah, Hang Tuah telah membawa Saifudin ke dalam tasik Chini yang dikawal naga pemberian Maharaja China.

Kisah selanjutnya, jom ikuti kisah Saifudin yang telah mengalahkan taghut, kembali menjejaki semula taghut yang melarikan diri ke negeri diatas angin. Setelah 6 purnama hilang di dalam tasik yang dikawal naga, Saifudin yang dirawat Hang Tuah pulih kembali bagi meneruskan pelayaran yang menguja dan mencabar. Dalam tempoh 6 purnama itu juga, Sunan diundang ke alam tidak berdinding, sentiasa dirayu Sang Dewi. Namun Sunan tidak endahkan rayuan Sang Dewi kerana dia beranggapan Sang Dewi adalah siluman. Misteri Sang Dewi akan terungkai diakhir cerita Sutera Bidadari ini. Pastinya sesuatu yang menarik untuk mengajak pembaca merungkai misteri alam tidak berdinding.

Dalam novel ini tidak ketinggalan tentang 2 watak wanita yang masih mencuba nasib untuk merebut perhatian dan hati Sunan iaitu Maryam balu berbangsa Portugis dan Luna dari bangsa Polip. Masing-masing hanya mampu memendam rasa kerana Sunan tidak memberikan sebarang jawapan menyambut hati mereka. Bagi Sunan cinta buat Ratna masih utuh. Hanya Haryani di abad 21 sahaja wanita yang hampir menjadi suri buat Sunan selepas kematian Ratna, namun disebabkan relung masa dan peluru yang menembus tubuh Sunan membuatkan Sunan dapat kembali ke abad 15.

Raja Roman aka taghut di negeri atas angin telah menghidu kedatangan Sunan. Dia yang telah kematian permaisuri telah berdendam dan tidak teragak-agak untuk mengakhiri nyawa Sunan dengan kudrat yang ada setelah kuasa saktinya ditarik kembali Sang Petala. Kuasa Tuhan tak siapa dapat jangka, Raja Roman yang paling jahat dan kejam akhirnya menerima Islam setelah bersemuka dengan Sunan. Rasa sebak semasa pengislaman dan saat kematian Raja Roman dengan nama barunya Abdullah Sadik. Buat pertama kalinya siri Sunan ini berjaya membuat Cik Pah mengalir air mata dan muhasabah diri. Jangan mudah menghukum orang ini masuk syurga, orang itu masuk neraka kerana pengakhiran kehidupan seseorang itu Allah yang tentukan. Sesuatu kejadian itu ada sebab dan akibatnya untuk diambil iktibar. Sang Petala aka iblis memang telah berjanji untuk menyesatkan manusia. Apabila orang suruhannya kalah, dia akan cuci tangan dan yang menerima akibatnya adalah manusia itu sendiri. Jika dilihat kepada siri sebelumnya sehingga siri ke 5 yang turut memuatkan kisah drakula, semua kerosakan dan kejahatan yang manusia lakukan adalah kerana ingin menguasai dunia, pangkat, harta dan dendam kesumat.

Makanya untuk menghindari jiwa dikuasai dunia, sentiasalah basahkan lidah dengan berzikir dan bertahajud sepertiga malam. Satu amalan yang Sunan buat adalah sentiasa mengalunkan Asmaulhusna. Jiwa manusia akan selamat dengan sentiasa ingat Allah. Sunan bukan sekadar kisah fantasi tapi mendidik jiwa.

View all my reviews

No comments :

Post a Comment