Saturday 14 June 2014

Novel : Naqiah Khalida



Naqiah Khalida by Diya Nordin
My rating: 3 of 5 stars

Akhirnya berjaya sudah membaca kisah sedih Naqiah Khalida, wanita yang terpaksa menempuh banyak cabaran dalam hidup sebelum dia nikmati bahagia.

Diusia belasan tahun, dia kehilangan segalanya, tok yang dikasihi dipanggil menghadap pencipta. Ibu bapa pula tidak pernah dia kenali. Entah masih hidup atau meninggal tidak diketahuinya. Tinggallah Naqiah seorang diri dan hampir membuat Naqiah mempertaruhkan masa depannya untuk menamatkan pelajaran setakat sekolah menengah. Tetapi dek pujukan Firul, Naqiah berjaya dalam SPM dan menyambung pelajaran ke Dunedin, New Zealand. Kehidupannya di negara orang dikelilingi dengan sahabat-sahabat yang baik. Di sana Naqiah menerima hidayah Allah untuk berubah menjadi muslimah yang lebih baik. Siapa sangka, dinegara bukan Islam, iman dapat dipertingkatkan dan membuat seseorang lebih mendekatkan diri kepadaNya bagi orang yang mencari dan diberi hidayah. Kerana terlalu mengingati Pulau Langkawi, Naqiah telah mengambil kesempatan untuk menghabiskan cuti semesternya di Auckland bertemu sahabatnya Nawwirah. Di sana Naqiah menemui seseorang yang telah mengikat satu perasaan untuk dia dekati dan bimbing, Sajida, junior yang telah hanyut dengan kehidupan bebas sehingga mengandung anak luar nikah. Dalam Naqiah cuba mendekati Sajida, jejaka yang bakal menjadi jurutera bernama Adi turut mengintai dan menghulurkan salam persahabatan buat Naqiah.

Dalam Naqiah mengharungi hidup sendiri, bapa saudara yang terdekat bukannya hendak membantu tetapi menambah nestapa. Itulah orang Melayu, pantang ada tanah, semuanya hendak dijual. Nasib baik tanah yang ada telah dipindah milik atas nama Naqiah. Ikutkan pakngahnya yang tamak, habis dijual tanah pusaka di Pulau Tuba. Rasa mahu saja dihambat dengan parang bila pakngah cuba tuntut satu-satunya harta yang ditinggalkan. Geram pula kat Naqiah yang masih boleh cakap lemah-lembut walaupun ditengking dan paling sakit hati pakngah sampai tangan-tangankan Naqiah. Mujur walid Firul ambil tindakan melapor ke balai polis. Kalau tidak, entah apa lagi yang pakngah cuba lakukan.

Kesedihan Naqiah berganda apabila Firul yang menjadi tunang tidak rasmi bertindak memutuskan hubungan mereka. Rupa-rupanya Firul menghidap penyakit yang boleh membawa maut. Naqiah yang tidak mengetahui punca sebenar hanya mampu memujuk hati bahawa Firul telah berubah dan hanya menganggap dia sebagai adik sahaja. Firul menanggung sakit, Adi, sepupu Firul yang turut belajar di Auckland telah diamanahkan untuk menjaga Naqiah dan meminta Adi melamar Naqiah. Di pihak Naqiah pula, tidak pula dia dapat melupakan Firul dan kehadiran Adi yang dilihatnya seperti playboy tidak diendahkan. Hubungan Firul-Naqiah-Adi mewarnai kisah cinta Naqiah Khalida dan pembongkaran sedikit demi sedikit kisah ibu bapa Naqiah membuat pembaca turut merasa sedih campur geram melayari kisah cinta mereka yang terhalang sehingga memberi kesan kepada anak yang tidak berdosa. Paling terkesan papa sanggup menolak hak Naqiah sebagai anak selepas mendapat izin mewalikan perkahwinan mereka.

Tabahkah hati Naqiah, saat dia bertarung nyawa melahirkan bayi buat suami tercinta, suaminya pula bertahan untuk mengazankan anak mereka sebelum menghembuskan nafas terakhir. Pada usia masih muda Naqiah telah bergelar balu. Pengajian yang ditangguhkan untuk menjaga Firul perlu disambung apatah lagi itu yang disarankan Firul sewaktu dia masih hidup. Kehidupan di Dunedin tidak sesukar mana apatah lagi bayi comelnya Firdaus tidak banyak kerenah dan menjadi rebutan teman serumah untuk dijaga. Tetapi yang membuat hati Naqiah resah dan berdukacita adalah apabila mama tiri dan adik sebapanya datang membuat onar. Ada cerita dari Malaysia membuat Naqiah cuba lari dari kenyataan. Ibu kandungnya sedang mencari Naqiah dan jejaka yang cuba dia hindari melamar sekali lagi. Adi, sepupu Firul membawa bersama amanat yang perlu ditunaikan. Dapatkah Adi menjaga Firdaus Izzudin dan Naqiah serta menyatukan kembali mama dan bapa kandung Naqiah sementelah hati Naqiah telah tertutup buat mereka.

Komen Cik Pah
1. Kisah yang menyedihkan buat air mata tak berhenti meleleh sewaktu Firul mengazankan Firdaus, Firdaus yang mula panggil Adi sebagai 'Bi', kedinginan papa menyambut kehadiran Naqiah dan menolak haknya walaupun dah terbukti melalui ujian DNA, pertemuan kembali mama (Nadia) papa (Mustaqim) dan pujuk rayu Mustaqim agar Nadia tidak lari darinya, Naqiah cuba pertahankan mamanya yang diserang mak tiri dan nenek dan banyak lagi
2. Seolah-olah kisah ini kisah benar seseorang yang penulis kenali
3. Bahasa yang lembut tetapi ada kalanya buat Cik Pah terlangkup buku ke muka
4. Terlalu banyak flashback buat ada kalanya kepeningan dan terpaksa selak kembali mukasurat depan
5. Banyak pengisian yang dikongsi penulis tentang kehidupan dan hubungan manusia dengan manusia dan hubungan manusia dengan pencipta
6. Mengajar Cik Pah lebih mensyukuri apa yang ada dan menghargai insan yang tersayang

Untuk rakan GR yang membaca review ini, nah pie untuk anda. Tak tau betul ke tidak ini yang penulis maksudkan chicken flank


Resepi

View all my reviews

No comments :

Post a Comment