Wednesday 24 September 2014

Novel : Dunia Belum Berakhir

Dunia Belum BerakhirDunia Belum Berakhir by Aimi Shabana
My rating: 4 of 5 stars

Cerita dalam cerita. Menariknya kisah Yasmin-Khalil-Zahid diceritakan oleh Haiza dan disambung pengakhiran oleh Hisyam kepada anak mereka yang putus cinta untuk menggambarkan bahawa Dunia Belum Berakhir apabila putus cinta.


Yasmin gadis yang setia, diuji dengan janji kasih setia cinta jarak jauh dengan Khalil yang telah pulang ke kampungnya di Melaka. Sepanjang 4 tahun percintaan mereka, hanya Yasmin sahaja tersua-sua muka melawat Khalil di Melaka. Sedangkan Khalil telah menemui kekasih baru sepupu kepada rakan sepejabat, Nora yang lengkap ilmu agama. Kisah mereka diselang-selikan dengan kisah Yasmin berkenaan isu kesetiaan di Taiping bersama pasangan bahagia Sarah-Aiman yang kepochi penghibur hati manakala Khalil di Melaka bersama Nora, Mustafa dan Jeevan si pakar motivasi berkenaan isu lamaran yang tidak kunjung tiba daripada Khalil. Sungguh Cik Pah tertunggu-tunggu watak Aiman yang blur, manja dan partner in crime bersama tunangnya Sarah di sebelah Yasmin dan Jeevan si Bangla/Nepal di pihak Khalil yang muka tembok memberikan motivasi dengan hanya mengutip ayat-ayat motivasi dari facebook. Mereka ini yang menyebabkan Cik Pah ralit menyelak muka surat demi muka surat. Memang gelak mengekek dengan Jeevan yang selalu tiba-tiba muncul depan Khalil. Ada sahaja cerita-cerita Jeevan yang memang terkena batang hidung Khalil. Walaupun kehadiran dia tidak disenangi, dia bersungguh-sungguh mencuri masa Khalil memberikan kata-kata nasihat dan buat kita turut menelinga.

Watak Zahid pula menjelma sebagai bekas kekasih Yasmin yang menuntut diberi peluang kedua. Dalam Yasmin cuba mempertahankan kesetiaannya, Yasmin termakan pujukan Sarah untuk menerima Zahid sebagai calon kedua sekiranya cinta Khalil beralih arah. Seperti biasa kita pasti meneka, Yasmin akan berakhir dengan salah seorang daripada mereka. Nak tahu kisah selanjutnya, anda perlu mendengar sendiri cerita daripada Haiza dan pastinya pengakhirannya membuat anda berlapang dada dan tersenyum.

Menariknya novel ini, isu masyarakat dikupas secukup rasa. Pandangan manusia kepada pelacur, golongan gelandangan, peragut imam muda mewarnai kisah hidup Yasmin. Penghijrahan Yasmin juga disentuh bagi menceritakan cabaran untuk mereka yang mula ingin berubah. Cik Pah suka dengan watak Yasmin yang baik pekerti , ada sifat ehsan dan memandang sesuatu perkara dari sudut positif. Tetapi agak geram kerana bab CINTA dia agak lembam, ambil masa bertahun untuk Yasmin sedar dia perlu bersemuka dengan Khalil membincangkan hala tuju hubungan mereka.

Selepas mendengar kisah Yasmin-Khalil-Zahid, Hisyam tertanya-tanya adakah benar itu adalah kisah isterinya sendiri atau ia hanya cerita rekaan?


Sepeti mempromosikan Taiping, penulis menceritakan lokasi menarik untuk pembaca singgah di Taiping dan pastinya ada menu makanan yang terkenal di sana. (Gambar dari Cik Reena Tan)

Tahniah kepada penulis, cerita lain daripada yang lain (rasanya ramai sependapat)

View all my reviews

No comments :

Post a Comment