Wednesday 6 May 2015

Novel : Tiada Batas Sayang

Tiada Batasan SayangTiada Batasan Sayang by Norhayati Berahim
My rating: 3 of 5 stars



Wah! Macam-macam bidang pekerjaan yang NB hidangkan kepada pembaca. Kali ini sebagai penternak lembu pula, bukan calang-calang kandang sekangkang kera tapi ladang luasnya berhektar dan berpuluh juta nilainya. Balkish, gadis lepasan ijazah memilih bidang ini kerana meneruskan usahasama almarhum ayahnya dengan makngah Zaidah. Dia kakak sulung yang terpaksa menggalas tanggungjawab membantu makngah dan dalam masa yang sama menjaga ibu yang lumpuh. Adik nan sorang, Jamiah walaupun lahir dan dididik dari ibu bapa yang sama , tidak seperti yang diharapkan. Lebih suka membuang masa dan sanggup menggadai maruah untuk hidup senang. Seperti perumpamaan, dalam pisang setandan tidak semuanya elok, pasti ada yang buruk barang satu dua. Dan yang buruk kelaku tu adalah Jamiah yang dijenamakan semula sebagai Julia memikat lelaki kaya. Seperti jangkaan Cik Pah, lelaki itu pasti ada kaitan dengan Datin Seri Aida. Siapa sangka, Datin Seri Aida yang banyak dosa meruntuhkan rumahtangga orang, mengikis harta lelaki kaya di zaman mudanya mulai takut dihambat dosa lalu dan mencari ketenangan di rumah Balkish.


Telah bertahun kisah pembunuhan Mr Kamil menjadi teka teki buat semua penduduk Labis dan Balkish terutamanya. Walaupun mahkamah telah menjatuhkan hukuman penjara ke atas ayahnya dan meninggal dunia di dalam penjara, tetapi Balkish yakin ayah tidak bersalah. Bagai bangkai gajah yang ditutup dengan nyiru, akhirnya kebenaran terbongkar setelah anak si mangsa, Fauzul pulang ke ladang Labis mencari siapa sebenarnya pembunuh ayahnya. Dapatkah kasih sayang yang tercetus antara dua insan ini bertaut bilamana kebenaran terbongkar dan Balkish terpaksa mengotakan janji mengahwini Datuk Seri Hamid, lelaki yang sudah insaf dengan kisah lalunya seperti ibu angkat makcik Aida.

Tiada kisah manis teruna dara, novel ini lebih tertumpu kepada tanggung jawab anak kepada ibu dan saudara mara, passion kepada bidang kerja, sikap amanah dan ihsan yang dipaparkan melalui watak Balkish.



View all my reviews

No comments :

Post a Comment