Wednesday 14 August 2013

Novel : Biarkan Indah Berlalu

Biarkan Indah BerlaluBiarkan Indah Berlalu by Ramlah Rashid
My rating: 5 of 5 stars

Hidup remaja Indah tak seindah namanya Indah Nur Iman. Gadis ini dinodai abang sepupunya Azril yang bernafsukan syaitan selepas putus cinta dengan minah Indon. Lagi sengsara hidup Indah apabila emak saudara dan bapa saudaranya lepas tangan kerana ingin menyelamatkan anak mereka Azril daripada dipenjara dan takutkan iparnya Jeneral Mokhtar bapa Indah.

Cerita ini sentiasa menyebabkan air mata sentiasa mengalir dari bab ke bab. Bagaimana seorang ibu saudara dan bapa saudara sanggup menipu anak saudara yang naif tentang hubungan lelaki perempuan, dipujuk tinggal di asrama tetapi mengatakan Indah ingin hidup bebas. Akibat perbuatan terkutuk Azril, Indah mengandung dan digantung kolej. Indah yang telah diugut untuk tidak memberitahu ibu dan ayah tentang perbuatan Azril menyebabkan dia menjadi mangsa amarah Jeneral Mokhtar. Tubuhnya disebat 100 kali kononnya hukuman untuk penzina. Kandungan Indah masih juga bernyawa walaupun pelbagai cara yang makngah sekeluarga dan ibu ayahnya cuba lakukan untuk gugurkan kandung.

Hidup Indah berubah apabila Indah melarikan diri setelah dipaksa berkahwin dengan Leman gila. Dia ditemui sepasang warga emas selepas beberapa jam bersalin di bawah pokok pisang belakang surau. Anaknya yang tidak dikasihi telah dibela oleh tok dan tokwan angkatnya dan diberi nama Putri Imani.
Kisah selanjutnya adalah selepas anaknya berusia 2 tahun lebih dan bagaimana Indah mula menunjukkan kasih kepada Putri . Kehadiran Danial yang merupakan bos ditempat kerjanya juga menceriakan hidup Indah selepas pertemuan mereka di rumah tok dan tokwan semasa Danial menjual insuran untuk Putri. Keletah Putri mencuit hati sesiapa sahaja yang memandangnya. Putri menjadi rebutan keluarga makngah, ibu ayah Indah dan Kak Biah bidan yang menjadi ibu susuan merangkap ibu angkat yang sah mengikut undang-undang selepas kematian tok dan tokwan.

Indah menjadi serba salah apabila Azril dengan tak tahu malunya ingin bertanggungjawab dan sudi mengahwininya untuk membantu Indah mendapatkan semula hak penjagaan Putri daripada Kak Biah. Rasa bengkek je hati bila mana ibu dan ayah Indah menyokong Azril berkahwin dengan Indah kerana mereka tidak mengetahui dalang sebenarnya adalah ipar dan anak buahnya sendiri. Situasi tidak menyebelahi Indah sementelah dia menganggur selepas berhenti kerja dan terputusnya pertunangannya dengan Danial selepas mendapat tentangan daripada abang dan bapa Danial. Namun si cilik ini lebih sayangkan papa Dan daripada babah Azril. Siapakah yang bakal mengahwini Indah dan menjadi papa Putri?

Mungkin semua orang hairankan kenapa makngah ,pakngah dan Azril beria-ia ingin menjaga Putri. Masa ni rasa macam nak cepuk je 3 manusia ni walaupun sebenarnya Azril dah insaf. Ikuti kisah ini yang banyak memberi pengajaran kepada kita tentang peranan kita kepada mangsa rogol, anak mangsa rogol, hubungan kekeluarga, peranan masyarakat , hukum hakam agama dan hukum karma.

Happy ending!


No comments :

Post a Comment